Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hukum bekerja di kedai atau restoran menjual benda haram (arak, babi dsb)

  1. Seperti yang telah dimaklumi, jika seorang muslim bekerja di tempat haram samada melibatkan operasi haram seperti di tempatatau menghasilkan produk haram seperti arak, sudah jelaslah hukumnya haram meskipun tugasnya cuma sebagai tukang sapu sahaja. Maka sudah pasti pendapatannya haram.
  2. Persoalan kedua: apa pula hukum bekerja di tempat yang bercampur aduk antara barang halal dan haram seperti di 7 eleven, giant, tesco?
Jika dia ambil bil pembayaran dari barangan yang halal, maka gaji dia adalah syubhah. Kerana hasil gajinya adalah bercampur antara yang halal dan haram. Ada juga ulama’ yang menghukum haram.
Namun jika ia bekerja sebagai pembawa arak,menyusun arak, sebagai cashier yang mengambil bayaran dari arak maka hukumnya jelas haram. Dan tentulah pendapatannya haram.

Kerana dia tergolong dalam 10 golongan yang terlibat dosa dan dilaknat oleh Allah : Nabi SAW bersabda :-
 عن أَنَسِ بن مَالِكٍ قال لَعَنَ رسول اللَّهِ في الْخَمْرِ عَشْرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَاوَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةُ إليه وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِي لهاوَالْمُشْتَرَاةُ له 
Maksudnya:
"Rasulullah saw melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarnya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya." 
Dan juga sebuah lagi hadith
عن جَابِرِ بن عبد اللَّهِ رضي الله عنهما أَنَّهُ سمع رَسُولَ اللَّهِ يقول عَامَ الْفَتْحِ وهو بِمَكَّةَإِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ

Ertinya : Dari Jabir r.a berkata ia mendengar Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan Mekah, sesungguhnya Allah dan rasulNya mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzir dan berhala. ( Riwayat al-Bukhari, 2/779)
  1. Hukum bekerja di restoran non halal
Bekerja di restoran yang menyediakan makanan haram seperti babi, arak dan sebagainya adalah haram, hal ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud :

ولا تعاونوا على الإثم والعدوان 
“Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. ” (Al-Maidah : 2)Ertinya: “ dan janganlah kamu tolong-menolong atas perkara jahat dan ceroboh”Banyak daripada ulama’ telah berkata, seorang daripada mereka itu ulama’ Syeikh Ibnu Hajar dalam kitabnya “الزواجر” berkata demikian bahawa memakan harta dengan batil itu termasuk tiap-tiap harta yang dapat dengan tiada hak sebenar yakni mengambil harta itu dengan aniaya seperti dengan merampas, mengkhianat, mencuri, menipu, mengelak, ingkar harta orang lain, mengambil upah kerja yang diharamkan. 
Dan juga mengambil harta dengan jalan yang diharamkan seperti dengan jalan riba, membuat arak, menjual babi, perempuan mengambil upah jadi pelayan lelaki dikedai-kedai kopi, dihotel-hotel, menghampirkan makanan atau minuman atau menunjukkan tempat-tempat makanan atau minuman yang diharamkan, atau mengambil harta dengan akad-akad yang fasid, atau menolong kafir memakan kotoran-kotoran dan najis-najis seperti katak, siput, arak, tuak, dan bangkai-bangkai daripada burung, binatang-binatang dan unggas yang diharamkan.
(Dipetik dari Fatwa Mufti Johor)
Ayat di atas cukup jelas bahawa Allah melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang mungkar atau dosa seperti menjual benda-benda yang jelas haramnya. Ini seolah bersyubhat dengan pihak kedai tersebut dan meredhokan apa yang dilakukan dikedai atau restoran tersebut. Haram bagi umat Islam menjual daging babi, arak, makanan atau barang-barang yang diharamkan oleh Islam. Pendapatan darinya juga haram. Ini berdasarkan Hadis Nabi Muhammad SAW  yang bermaksud :

“Sesungguhnya jika Allah mengharamkan sesuatu, maka Dia juga mengharamkan nilai harganya" (Diriwayatkan oleh Ahmad)

Ada alasan yang mengatakan bahawa tidak mengapa, kami cuma jual daging babi dan arak kepada non muslim sahaja dan tidak dijualkan kepada muslim. Ini pendapat orang yang tiada ilmu dan sengaja menambah-nambah perkara baru dalam agama, orang yang menambah benda baru dalam agama tanpa dalil, maka akan ditempatkan di dalam neraka Allah. Haram juga bagi orang yang menjualkan daging babi, arak kepada non muslim, ini berdasarkan kepada hadis di atas.
Jelas di sini bahawa orang yang bekerja di restoran yang menyediakan makanan yang tidak halal adalah haram walaupun ia hanya dihidangkan kepada non muslim sahaja. Lagilah besar dosanya kalau dihidangkan makanan haram kepada muslim.
Saya menyeru ummat Islam yang menjadi ummat pilihan ini, carilah pekerjaan lain yang diredhai Allah untuk elakkan dari sumber pendapatan haram ini. Sebaik-baiknya carilah pekerjaan yg  100 % halal tanpa ragu-ragu. Pesanan Nabi kepada kita yang bermaksud:
 "Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada benda ( sesuatu ) yang tidak meragukan".
Kalau mereka yang telah terlanjur melakukannya, maka kembalilah ke jalan Allah dan bertaubatlah sebelum terlambat.
WALLAHU ‘A’LAM
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Post a Comment for "Hukum bekerja di kedai atau restoran menjual benda haram (arak, babi dsb)"